Tuesday, 9 July 2013

LATAR BELAKANG SEKOLAH SK ST. AUGUSTINE (AS494) MERADONG, SARAWAK .


SK St. Augustine merupakan salah sebuah daripada 146 sekolah rendah di Bahagian Sarikei, Sarawak.  Ia terletak di KM 1, Jalan Kelupu, Bintangor.  Jarak sekolah ini dari Bandar Bintangor ialah 1 km dan 45 km dari Bandar Sarikei.  Ia mempunyai kawasan seluas 3.85 ekar.  SK St. Augustine ditubuhkan pada tahun 1927 oleh mubaligh Kristian Katolik yang diketuai oleh Rev. Leonard v.d. Bergh iaitu seorang paderi berbangsa Belanda.  Di samping sebagai paderi, beliau juga memegang jawatan sebagai Guru Besar yang pertama bagi SK St. Augustine.  Tujuan utama beliau membina sekolah ini adalah untuk menyampaikan ajaran agama Katolik dan mendidik murid-murid yang hendak belajar Bahasa Inggeris.

Pada 11 November 1952, Jabatan Pendidikan Kuching memberi kelulusan bagi SK St. Augustine untuk mengadakan aliran Bahasa Cina.  Lantaran itu, sekolah ini mempunyai dua sesi iaitu sesi pagi untuk kelas aliran Bahasa Inggeris dan sesi petang untuk kelas aliran Bahasa Cina.  Sehingga sekarang kaum Cina memanggil sekolah ini sebagai "Ing Hang". "Ing" bermaksud Inggeris dan "Hang" bermaksud Bahasa Cina.  Oleh itu, "Sekolah Ing Hang" bermaksud "Sekolah Bahasa Ingeris dan Cina".

Pada masa itu, bangunan St. Augustine dibuat daripada papan dan kayu dua tingkat.  Sebuah rumah asrama telah dibina pada tahun 1957.  Asrama itu khusus untuk murid-murid Iban yang datang dari rumah panjang yang jauh dari Bandar Bintangor.  Apabila Majlis Daerah Meradong (Nama lamanya Binatang District Council) membina sekolah tempatan untuk setiap kampung di seluruh Daerah Meardong, maka semenjak 1966 tiada murid lagi yang menetap di asrama SK St. Augsutine.  Pada tahun 1927 bangunan sekolah yang dibina didapati tidak selamat. Justeru itu, atas sumbangan separuh wang (50%) dibantukan oleh kerajaan dan separuh wang diderma dari penduduk di Bandar Bintangor, maka bangunan baru siap dibina pada tahun 1969.  Bangunan yang lama dimusnahkan pada Ogos 1969.  Kemudian sebuah bangsal untuk meletakkan kereta , motosikal dan basikal telah dibina pada tahun 1986.

Pada masa kini SK St. Augsutine merupakan sebuah sekolah rendah yang berpenghantar Bahasa Melayu.  Ia mempunyai 13 orang guru (termasuk Guru Besar), dua staf sokongan dan 163 orang murid.  Kini ia menjalankan satu sesi sahaja iaitu di sebelah pagi.


Pada masa sekarang pencapaian UPSR sekolah ini sangat memuaskan.  Prestasi murid dalam matapelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik adalah hampir 90% kelulusannya semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2004 peratus kelulusan UPSR ialah 95.8%.

No comments:

Post a Comment